"Takdir Penentu Segalanya".Satu ungkapan dari sebuah lagu nyanyian Jamal Abdillah.Bukan saja dijadikan lirik lagu malah dalam kehidupan seharian,semua yang berlaku dikaitkan dengan takdir atau ketentuan dariNya.Boleh jadi ada kebenarannya,tapi boleh jadi juga diri kita,perbuatan kita menjadi punca atau penyebab takdir kita berubah.
Begitu juga dalam hidup berpasangan.Apabila perhubungan sesama manusia kekal atau sebaliknya maka kita akan mengatakan takdir telah menentukan cukup setakat itu.Tapi pernahkah kita terdetik seketika,adakalanya tindakan kita,niat kita juga menjadi salah satu dari faktor pendorong hingga mengubah takdir hidup kita?
Saya perdengarkan pada kalian satu kisah benar yang terjadi dalam hidup kita seharian tapi sering diabaikan kerana mengikut logik akal,teramat mustahil hal yang sebegini remeh mampu memberi kesan hingga sepanjang hayat kita.
Pada 15 tahun yang lepas,ketika saya terlibat dalam menguruskan sebuah majlis perkahwinan salah seorang sahabat saya.Ibu sahabat saya telah menyuarakan hasrat hatinya untuk tidak menerima sebarang pemberian atau dalam erti kata lain 'salam kaut' dari para jemputan.Sesuatu yang agak mustahil untuk dilakukan kerana melibatkan ramai pihak.Lalu si ibu telah menyuarakan seandainya diterima pemberian tersebut,maka beliau berhajat untuk memanjangkan sedekah itu kepada seluruh tetangga yang turut membantu melakukan persiapan.
Ajaibnya hal seumpama begini terjadi lagi pada 6 tahun yang lepas.Masih dalam situasi yang sama tapi dari watak yang berbeza.Kali ini hasrat tersebut disuarakan oleh pihak pengantin kepada ibunya.Si pengantin perempuan tersebut menyatakan bahawa dia telah mengeluarkan sejumlah besar simpanannya semata-mata untuk menjadikan majlis perkahwinannya satu majlis yang gilang gemilang demi menjaga imej kedua orang tuanya.Lalu dia berharap dengan hasil dari 'salam kaut' pemberian para jemputan dapat mengembalikan semula modal yang telah dia laburkan.
Saya tidak bermaksud mempersendakan kedua situasi ini.Tapi inilah hakikat yang ingin saya katakan.Dek kerana niat si ibu itu,rumahtangga anak perempuannya sudah bertahan selama 15 tahun manakala dek kerana niat si pengantin tersebut,rumahtangganya cuma mampu kekal selama 4 tahun sahaja.
Mungkin ada yang akan beranggapan bahawa takdir Allah swt telah menetapkan jodoh mereka hingga ke waktu itu.Benar! saya akui namun saya juga percaya niat yang baik,ikhlas dan jujur juga adalah tunjang bagi setiap tindakan mahupun perbuatan.Boleh jadi juga ada lagi faktor-faktor dalaman lain yang boleh dijadikan punca dan penyebabnya.
Saya bukan pakar motivasi.Saya juga bukan pakar dalam ilmu rumahtangga.Saya melihat semua ini dari sudut kehidupan sebagai manusia biasa sekaligus sebagai hamba Allah yang Esa.Saya menyimpulkan bahawa apa jua tindakan kita,apa jua perbuatan kita,kemana jua langkah kita,haruslah seiring dengan satu niat yang suci.Demi sebuah kehidupan yang diberkati.
Jika perancangan sudah teliti,jika niat sudah diperhalusi namun masih belum dapat keizinan dariNya maka wajarlah kita menganggap sebagai Takdir Penentu Segalanya.Semoga kita semua dirahmati.
ツSEPATU KOYAKhttp://www.sfi4.com/12859243/FREE
No comments:
Post a Comment